Wednesday, June 7, 2017

PENGENALAN KEPADA KAEDAH PENGAJARAN

Pembelajaran merupakan kaedah memperoleh ilmu pengetahuan atau kemahiran melalui pengalaman, amalan yang dipelajari atau yang diajarkan. Pembelajaran secara tradisional seperti yang diamalkan oleh kebanyakan pelajar adalah pembelajaran yang pasif. Mereka menghabiskan kebanyakan masa persekolahannya dalam suasana pembelajaran yang pasif dengan menghafal semua maklumat yang disampaikan oleh guru secara syarahan tanpa ada penglibatan pelajar dalam pembelajaran. Pelajar hanya mendengar syarahan dan mengingati fakta yang diberikan oleh guru. Kaedah ini lebih pada pembelajaran berpusatkan guru (Elizabeth et al,2002).
 
Pembelajaran yang pasif ini perlu berubah kepada kaedah pembelajaran dan
pengajaran yang aktif untuk membolehkan pelajar memberi tumpuan dalam pembelajaran.Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang aktif dapat merangsang pelajar dengan mengaktifkan pengetahuan yang sedia ada dan dihubungkaitkan dengan pengetahuan baru.Pengetahuan yang baru diperolehi ini pula terus boleh diguna pakai pada masa hadapan (Khoo,2003).
 
Salah satu kaedah pembelajaran yang boleh menyediakan pelajar supaya berkebolehan dalam menyelesaikan masalah secara kritis, berpengetahuan, aktif dan sedia menghadapi cabaran dunia hari ini adalah kaedah pembelajaran berdasarkan masalah yang menggunakan masalah kehidupan sebenar sebagai titik permulaan terhadap pembelajaran (William, 2001;Dunlap, 2005). 
 
Terdapat banyak hasil kajian yang dijalankan di negara barat menunjukkan
kaedah pembelajaran berdasarkan masalah merupakan suatu kaedah alternatif dalam menyediakan pelajar yang boleh menyelesaikan masalah secara kritis, mengutamakan pembelajaran secara kendiri dan aktif dalam menghadapi cabaran dunia hari ini. Hasil kajian juga mendapati pembelajaran berdasarkan masalah dapat menambahkan pengetahuan, perubahan sikap dan amalan pelajar (William, 2001).

No comments:

Post a Comment